Gambar dari myMetro
Perangi penggodam
Oleh Gaddafi Musli
gaddafi@hmetro.com.my
IPOH: Menubuhkan askar sukarelawan siber diterajui belia
mempertahankan sistem komputer negara daripada ancaman penggodam luar
antara resolusi dicapai pada Malaysian Cyber Conference (MCC) 2012 yang
dihadiri 110 peserta terdiri daripada belia dan pengamal siber, di sini.
Pengarah Projek MCC, Afnan Afiq Alias berkata, isu keselamatan
siber khususnya laman web rasmi kerajaan harus diambil perhatian
berikutan kes penggodaman yang semakin serius.
“Dengan adanya sukarelawan siber, ancaman seperti ini dapat ditangani dengan lebih pantas di samping membantu agensi keselamatan siber menangkis serangan penggodam berniat jahat,” katanya.
Menurutnya kepakaran penggodam sering dipandang negatif berikutan
tindakan beberapa pihak yang sering melakukan ‘defacement’ atau
mengubah paparan utama laman web kerajaan.
“Pada pandangan saya, mereka sebenarnya hanya mahu mendedahkan kelemahan sistem keselamatan laman terbabit dan tidak mengganggu data yang disimpan. “Bayangkan jika pihak luar yang melakukan penggodaman dan menyalahgunakan data sulit yang disimpan,” katanya ketika ditemui.
Justeru, katanya, penubuhan pasukan ini perlu untuk membantu agensi kerajaan memantau keselamatan laman web mereka terutama yang menyimpan data sensitif.
Afnan memberi contoh kejadian godam membabitkan laman sebuah agensi
penguat kuasa, baru-baru ini dengan data seperti pendapatan mengikut
negeri didedahkan penggodam tidak bertanggungjawab.
“Saya menyeru belia khususnya yang mempunyai kepakaran godam menyertai MCC dan menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan sistem keselamatan siber negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi (ITYM),
Khaireel Azlee Abdul Aziz yang juga antara tulang belakang MCC
menjelaskan, tanggungjawab sukarelawan siber bukan sekadar menjadi
benteng malah membentuk polisi membabitkan teknologi Komunikasi
informasi (ICT) dan belia.
“Golongan ini dapat membantu kerajaan dengan memberikan maklum balas, cadangan serta kehendak mereka memudahkan proses penggubalan polisi,” katanya.
Turut diadakan dalam program berkenaan, forum yang membincangkan fenomena godam serta implikasinya terhadap masyarakat selain perbincangan bersama mengenai kaedah keselamatan siber.
No comments:
Post a Comment