Oki Setiana Dewi
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
NAMA Oki Setiana Dewi tentunya sudah tidak asing di kalangan penonton
tempatan.
Apatah lagi, bagi yang sudah menonton lakonannya dalam filem dan
sinetron popular Indonesia, Ketika Cinta Bertasbih (KCB) karya
Habiburrahman El Shirazy. Watak Anna Althafunnisa nyata cukup
mempopularkan Oki.
Baru berusia 23 tahun, gadis yang tampil menutup aurat ini matang berbicara.
Setiap
patah katanya, jelas menonjolkan dia seorang yang berilmu. Tanpa
berlindung, Oki memaklumkan kedatangannya ke negara ini adalah untuk
berkongsi kisah penghasilan dua novel karyanya dan pengalaman sebagai
penulis.
Menghasilkan novel Melukis Pelangi: Catatan Hati Oki Setiana Dewi dan
Sejuta Pelangi: Pernik Cinta Oki Setiana Dewi, anak kelahiran Batam,
Indonesia itu yang ditemui pada majlis ramah mesra bersamanya di Spice
Garden, Chulan Square, Kuala Lumpur kelmarin, mengakui sambutan yang
diterimanya sangat baik.
“Novel pertama, Melukis Pelangi: Catatan Hati Oki Setiana Dewi
mengisahkan perjalanan hidup saya daripada seorang gadis biasa
sehinggalah dikenali ramai selepas membintangi filem KCB. Dalam setahun
penjualannya di Indonesia, novel ini menjadi antara karya yang laris di
pasaran dan sudah lapan kali cetakan semula.
NUKILAN SAYA...Oki menunjukkan dua novel tulisannya, Melukis Pelangi: Catatan Hati Oki Setiana Dewi dan Sejuta Pelangi: Pernik Cinta Oki Setiana Dewi.
“Manakala, novel Sejuta Pelangi: Pernik Cinta Oki Setiana Dewi pula
baru tiga bulan berada di pasaran Indonesia dan sudah empat kali cetakan
semula. Saya sangat bersyukur dengan penerimaan baik pembaca terhadap
kedua-dua novel ini yang dihasilkan menerusi pengalaman yang pernah saya
lalui.
“Bagi novel Sejuta Pelangi, saya menulis kisah diri ini bersama masyarakat.
Antaranya,
pengalaman mendekati seorang kanak-kanak pesakit kanser, bertemu orang
di rumah sakit jiwa serta banduan yang dipenjarakan. Berada di sisi
mereka, saya tidak menyangka golongan ini cukup tabah menghadapi dugaan
Tuhan.
TENANG...Oki ramah memberi jawapan pada setiap soalan wakil media kepadanya.
“Mereka memberi saya inspirasi dan pengajaran dalam hidup. Ia membuatkan
saya mahu lebih memahami agama yang dianuti dan dekat dengan Sang
Pencipta. Justeru, dengan sokongan baik yang diterima daripada golongan
banduan, saya mengambil inisiatif menganjurkan kelas mengaji al-Quran di
penjara.
“Aktiviti ini (ajar mengaji) sudah saya lakukan
beberapa bulan yang lalu. Bagi saya, daripada menghabiskan masa dengan
hanya mengambil gambar bersama saja adalah lebih baik diadakan majlis
ilmu yang memberi manfaat untuk kami semua.
Secara tidak langsung, saya dan mereka (banduan) dekat dengan Allah,” katanya.
Oki
yang bertudung pada usia 16 tahun berkata, atas sambutan baik
diterimanya, dia akan melancarkan novel ketiga Cahaya Di Atas Cahaya
tidak lama lagi.
Katanya inspirasi untuk penghasilan novel itu
diperoleh ketika dia melanjutkan pengajian selama sebulan di Universiti
Ummul Qura, Makkah pada Februari lalu.
Mengakui dirinya seorang
yang begitu cintakan ilmu, Oki menyifatkan semakin dia gigih mencari
ilmu, sebenarnya masih banyak yang belum diketahui. Ujar anak sulung
daripada tiga beradik ini, ilmu Allah itu cukup luas dan takkan pernah
habis diperoleh. Katanya dia akan sentiasa terus belajar.
Berbicara
mengenai watak Anna Althafunnisa lakonannya, Oki berkata sudah empat
tahun dirinya cukup dikenali peminat dengan nama itu. Jelasnya, dia
tidak kisah dipanggil Anna sampai bila-bila pun. Menurut Oki, dia
menjadi sangat jatuh cinta pada agama Islam yang dianuti sejak mendapat
peluang membintangi KCB.

CINTA ILMU...Oki lanjutkan pengajian di Universiti Ummul Qura, Makkah pada Februari lalu selama sebulan.
“KCB membawa impak yang besar dalam diri saya terhadap agama. Saya
sentiasa berdoa kepada Allah dan berusaha mahu menjadi manusia yang
baik. Saya bersyukur dipilih melakonkan watak Anna dalam KCB yang cukup
memotivasikan diri ini.
Memang impian saya pun menjadi Anna di dunia yang nyata.
“Sebelum
berlakon dalam KCB, saya sudah pun membaca novelnya. Saya suka dengan
watak Anna itu yang digambarkan sebagai seorang wanita yang baik. Malah,
apabila diberi kepercayaan melakonkannya, saya banyak pula belajar
mengenai ilmu rumah tangga walaupun saya belum berkahwin,” katanya.
Menerusi
KCB juga, Oki meraih anugerah Pendatang Baru Wanita Terbaik Indonesian
Movie Award 2010 dan Pendatang Baru Wanita Favorit Indonesian Movie
Award
2010. Pun begitu, sikap Oki yang profesional membuka peluang
untuk wakil media mengetahui sedikit kisah peribadinya seperti impian
perkahwinan.
Oki berkata, dia adalah seorang wanita yang berharap
dapat bertemu jodoh pada usia muda. Katanya, dia bersyukur sekiranya
impian itu tertunai dan calon terpilih pula direstui kedua-dua ibu
bapanya.
Sehubungan itu, lakonan Oki boleh disaksikan penonton dalam pakej Indo Pek
di Saluran Bintang (141) dan Pelangi (142).