PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-55 OLEH YAB. DATO’ SRI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia
1. Alhamdulillah, segala rasa syukur
dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya
jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan
negara buat kali yang ke-55.
Saudara dan saudari,
2. Sudah lebih lima puluh tahun,
dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan
serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan
rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.
3. Maka, berteraskan muafakat dan
kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada
rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad
yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang
daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus
utuh.
4. Begitulah, perpaduan nasional
yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan
nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara
berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi
memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.
5. Ternyata, kejayaan yang diimpikan
Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang
bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi
Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui
GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta
Transformasi Kawasan Luar Bandar.
6. Sesungguhnya, langkah berani
pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi
mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar
dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang
menjadi asas kepada kestabilan nasional.
Saudara dan saudari,
7. Malaysia merupakan bukti dan
manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami
kebenaran dari kenyataan di atas, setiap seorang daripada kita perlu
kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai
kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis
Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara
berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa,
pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.
8. Terakam dalam kamar peristiwa,
selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta
telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara
sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa
pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan
apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.
9. Jelasnya, dari satu titik ke satu
titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah
negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya
mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang
mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras
kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah
negara dengan ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang
pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas
merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang
tahun 2020 kelak. InsyaAllah.
Saudara dan saudari,
10. Sepanjang detik yang berlari, kita
telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta
sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk
bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh
dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk
pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak
Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.
11. Semuanya ini, merupakan nikmat
daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh
pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan
diperoleh. Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi
alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin
menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.
12. Oleh itu, dua tahun yang lalu,
kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan
Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara.
Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun
ini.
13. Sehubungan dengan itu, kerajaan
akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi
Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran
negara ke peringkat lebih tinggi.
14. GTP 2 juga akan menyaksikan
penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih
bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor
korporat.
15. Namun, segala usaha dan prakarsa
yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan
dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.
16. Kesimpulannya, sekarang, kita
berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di
sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di
peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.
17. Justeru, marilah kita menjulang
citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi
yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama
berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah
bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula,
diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina.
Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.