Sunday, July 29, 2012

TIMOTHY RAY BROWN (47) Manusia Pertama Sembuh Penyakit HIV

TIMOTHY RAY BROWN, 47

TIMOTHY RAY BROWN, 47, menjadi satu-satunya manusia dalam sejarah yang sembuh daripada jangkitan HIV selepas menjalani pembedahan pemindahan sumsum tulang daripada individu yang kebal terhadap virus itu.

Dia disahkan menghidap HIV sekitar tahun 1995 ketika menuntut di Berlin, Jerman dan diberitahu hanya mampu hidup selama dua tahun lagi.

Brown yang terkenal dengan jolokan ‘Berlin Patient’ berasal dari bandar raya Seattle, Washington, Amerika Syarikat (AS). Dia menjadi popular selepas beberapa doktor cuba mengaplikasikan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemia Brown.

Sejak tahun 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan sumsum selepas doktornya, Gero Huetter melakukan ujian ke atas lebih 70 penderma untuk menentukan keserasian mereka dengan Brown. Penderma itu juga menunjukkan keputusan negatif dalam ujian HIV.

“Saya disembuhkan daripada HIV. Dahulu saya mempunyai HIV, tetapi kini tidak lagi. Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati. Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV,” kata Brown.

Kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia membolehkan jangkitan HIV yang dihidap berjuta-juta penduduk dunia dirawat.

Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada tahun 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.

No comments:

Post a Comment