WASHINGTON 11 Okt. - Laman web video, YouTube kini menerima lebih satu bilion pengunjung dalam sehari, menurut pengasas laman web tersebut pada ulang tahun ketiga perolehan Google terhadap YouTube.
"Dengan rasa bangga saya mengumumkan kami telah memberi perkhidmatan kepada lebih 1 bilion pelawat setiap hari.
"Ini adalah saat yang hebat dalam sejarah kami," kata ketua eksekutif YouTube, Chad Hurley dalam satu blog.
Katanya, laman web itu yang dibeli oleh Google pada tahun 2006 dengan harga AS$1.65 bilion (RM5.65 bilion), telah berevolusi menjadi platform perkongsian bahan yang lebih profesional.
Hurley adalah pengasas bersama laman web tersebut pada 2004 bersama Steve Chen dan Jawed Karim.
"Kami mahu mencipta satu laman yang mana sesiapa yang mempunyai kamera video, komputer dan hubungan Internet dapat berkongsi kehidupan, seni dan suara dengan dunia, dan dalam banyak kes, serta membantu mereka menjana pendapatan," ujar Hurley menjelaskan tujuan asal YouTube.
Katanya, tiga tahun selepas perolehan tersebut, platform dan perniagaan YouTube terus berkembang.
"Kami masih komited dengan prinsip yang sama, tetapi kami tahu ada perkara yang berubah.
"Kami nampak permintaan untuk kandungan yang lebih panjang. Jadi kami masukkan lebih banyak rancangan dan filem ke dalam laman ini," tambahnya.
YouTube sedang membincangkan perjanjian dengan studio filem dan seumpamanya untuk menawarkan lebih banyak kandungan menarik bagi menarik pengiklan.
Khamis lalu, ia mengumumkan bahawa filem tahun 1976 arahan Martin Scorsese, Taxi Driver yang dibintangi oleh Robert De Niro dan Jodie Foster boleh ditonton oleh penonton Amerika Syarikat menerusi rangkaian Crackle YouTube.
Awal tahun ini, YouTube terlibat dalam perbalahan mengenai jumlah royalti yang dibayar kepada pemilik video muzik atas penyiaran video-video di laman berkenaan.
Pertelingkahan tersebut diselesaikan enam bulan kemudian apabila Google bersetuju membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan nilainya kepada badan pengumpul royalti Britain, PRS for Music. - AFP
No comments:
Post a Comment