Wednesday, October 7, 2009

Isteri Ditetak Kerana Menuntut Fasakh!!



KUANTAN: Berang isteri menuntut fasakh, seorang lelaki panas baran berusia 40 tahun sanggup menetak wanita berkenaan dengan senjata tajam dipercayai parang sehingga parah di kedua-dua pinggang dalam kejadian di Lorong Sri Kuantan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi, lelaki dikenali sebagai ‘Ali Mamak’ dari Bukit Sekilau di sini, sanggup mencederakan isterinya, Noor Afzan Janudin, 25, dipercayai akibat tidak puas hati dengan tindakan wanita itu memfailkan permohonan cerai.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mencederakan abang iparnya, Yusri Amir, 33, seorang pengurus syarikat swasta sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan di kening kiri akibat terkena libasan senjata tajam berkenaan ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya.

Sebelum ini, pada 30 September lalu, lelaki itu pernah mengamuk apabila membelasah sepasang suami isteri di Bukit Sekilau, dekat sini.

Menceritakan semula kejadian itu, Yusri Amir berkata, dia tiba di tempat kerjanya di Lorong Sri Kuantan lalu melihat adiknya bersama suami dan seorang rakan lelaki.

Menurutnya, dia kemudian menjerit nama ‘Ali Mamak’ sebelum lelaki terbabit menarik adiknya masuk ke dalam Proton Satria Neo kuning dan cuba beredar dari tempat kejadian.

Katanya, ketika dia cuba menyelamatkan adiknya, iparnya mengeluarkan sebilah parang lalu melibas ke arahnya sehingga terkena kening kiri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Saya terpaksa bermandi darah ketika cuba mempertahankan diri sebelum adik saya dapat melepaskan diri.

“Selepas saya ditetak, adik saya pula menjadi mangsa apabila suaminya menetak kedua-dua pinggangnya menggunakan senjata berkenaan.

“Sebelum melarikan diri, lelaki itu sempat merampas beg tangan adik saya mengandungi telefon bimbit, wang tunai, kunci pejabat dan dokumen penting lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ahmad di sini, semalam.

Melihatkan adiknya parah serta dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, dia terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, sebelum ini, dia beberapa kali membuat aduan polis berhubung tindakan iparnya yang panas baran termasuk pernah mengugut mahu membunuh kakak sulungnya, Norashikin, 36.

Yusri Amir berkata, adik iparnya itu memang terkenal dengan sikapnya yang panas baran selain tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, dalam laporan polis sebelum ini, suspek didakwa membawa lari anak perempuannya berusia setahun selepas marah apabila menerima surat guaman memaklumkan permohonan cerai daripada isterinya yang tidak tahan dengan sikapnya yang panas baran dan sering dipukul.

Selain itu, lelaki terbabit didakwa pernah memecahkan cermin depan dan belakang kereta ibu mentuanya dengan batang besi sebelum mengugut membunuh wanita berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 30 September lalu, suspek diburu polis selepas membelasah sepasang suami isteri yang menuntut hutang RM4,500.

Menurut laporan itu, suspek yang berang apabila diminta melunaskan hutangnya terus membelasah mangsa dengan batang besi.

Tidak cukup dengan itu, bapa suspek yang menyaksikan kejadian berkenaan turut campur tangan apabila memukul isteri mangsa berusia 36 tahun yang cuba mempertahankan suaminya.

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment