PUTRAJAYA: Keghairahan seorang bomoh ekor yang juga bekas bilal masjid melayan kaki judi yang mahu mendapatkan khidmat manteranya membawa padah apabila mereka ditahan ketika melakukan upacara memuja ‘kendi kuno’ yang dibawa pelanggan, kelmarin.
Bekas bilal berusia 66 tahun yang terkenal di sekitar Banting, dekat sini, dengan panggilan Wak, dipercayai bukan saja popular di kalangan tahi judi berpendapatan rendah, malah turut menjadi pilihan kaki judi ‘berada’ yang ketagih dengan nombor ekor.
Bukan itu saja, warga emas berkenaan pernah dilantik ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pernah ditahan serta dijatuhkan hukuman kerana menjalankan kegiatan sama pada 1996.
Bagaimanapun, ketagihan menjadi bomoh ekor dipercayai menjerat semula lelaki terbabit menawarkan khidmat khurafat yang mendapat permintaan tinggi di kalangan kaki judi yang mengharapkan ‘mantera mustajab’ bagi mendapatkan hadiah utama judi ekor.
Kegiatan lelaki terbabit terbongkar apabila pihak berkuasa menjalankan pemantauan di rumah lelaki terbabit lebih dua bulan lalu, sebelum menyerbu dan menahan bomoh itu bersama isteri, anak, menantu serta 10 pelanggan yang kebanyakannya tahi judi, kira-kira jam 10 malam.
Ketika ditahan, warga emas terbabit tampil segak memakai kopiah hitam, berbaju Melayu dan berkain pelekat sambil mulutnya terkumat-kamit membaca mantera pelik sambil memegang kendi kuno yang diletakkan di atas kertas sebelum timbul nombor ekor yang kononnya bakal memenangi hadiah utama.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata memang agak mengejutkan apabila siasatan awal mendapati bomoh terbabit bukan saja bekas seorang bilal masjid, malah pernah dilantik JKKK.
Menurutnya, siasatan mendapati kaki judi perlu membawa ‘barang lama’ seperti keris, lembing dan pisau yang menjadi syarat utama pemujaan yang hendak dilakukan.
Katanya, setiap kaki judi perlu mengambil nombor giliran yang diberikan pembantu bomoh terbabit dipercayai seorang wanita warga Indonesia yang menanti di gerai berhampiran milik dukun berkenaan.
“Bukan saja kaki judi miskin, malah kaki judi kaya yang menaiki kereta mewah termasuk Mercedes Benz juga datang bagi mendapatkan khidmat bomoh terbabit.
“Apa yang pasti, setiap pelanggan perlu membawa besi atau barang lama sebagai syarat memastikan mantera bomoh itu mampu mengeluarkan nombor ekor untuk dibeli keesokannya,” katanya.
Shahrom tidak menolak kemungkinan bomoh terbabit menggunakan ‘bantuan ghaib’ bagi memuja nombor yang kononnya mampu memberikan hasil lumayan kepada kaki judi.
Menurutnya, ketika diserbu bomoh terbabit sedang memegang kendi dibawa kaki judi sambil yang diletakkan di atas kaca lampu pelita sambil membaca mantera sebelum secara tiba-tiba keluar asap.
“Bomoh yang dipercayai menggunakan sihir itu meletakkan kendi itu di atas kertas sebelum terhasil nombor.
“Kaki judi terbabit tersenyum sebelum mengambil nombor berkenaan dan memasukkan sejumlah wang ke dalam raga yang disediakan bomoh itu,” katanya.
Shahrom berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati ia didiami warga emas itu bersama isteri dan dua anak serta menantu yang seolah-olah tidak menyedari kegiatan dilakukannya.
Menurutnya, beliau difahamkan, bomoh itu sering dibantu anak perempuannya sebelum mendapatkan bantuan wanita warga Indonesia terbabit.
“Berdasarkan siasatan, bomoh itu mendakwa memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan hasil gerai minuman dan khidmat puja nombor ditawarkannya.
“Malah, ketika ditahan bomoh memberitahu hanya melakukannya atas permintaan pelanggan dan tidak meletakkan harga bagi khidmatnya,” katanya.
Shahrom berkata, dalam operasi itu, Jais menahan 15 orang termasuk isteri, anak, menantu dan pembantu gerai bomoh terbabit untuk disoal siasat di pejabat Jais.
Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 4 dan 7, Enakmen Jenayah Syariah Selangor, selain seksyen lain yang perlu.
“Saya juga terkejut apabila seorang bekas bilal boleh terbabit dalam kegiatan khurafat ini bagi memenuhi tuntutan kaki judi,” katanya.
Sementara itu, Wak ketika ditemui berkata, dia tidak menetapkan sebarang bayaran dan mendakwa dalam sehari mampu mendapat lebih RM100.
“Kebanyakan mereka datang pada sebelah malam dan minta bantuan saya, jadi saya tolonglah...
“Saya juga tak ambil tahu latar belakang dan apa pekerjaan mereka,” katanya mendakwa berkecimpung dalam pekerjaan itu lebih 10 tahun lalu.
Wak mendakwa kadang-kadang dia hanya menulis nombor yang terlintas di fikiran dan pernah membeli nombor, tetapi tidak mengena.
Dia juga berulang kali meminta maaf dan mendakwa tidak tahu perbuatannya menyalahi undang-undang, selain memberi alasan tidak mempunyai pengetahuan agama tinggi serta melakukan kerja itu sekadar mahu menolong.
Ditanya cara menarik nombor, Wak berkata dia menggunakan duit lama yang digosok serta dibaca mantera sebelum diletakkan di atas kertas putih dan beberapa minit kemudian keluar nombor dihajati pelanggan.
“Biasalah kadang-kadang ada yang kena, kadang-kadang tak. Tapi mereka tak pernah bagi tahu saya atau bagi duit selepas kena.
“Dalam seminggu biasanya tiga hari paling ramai orang datang jumpa saya untuk dapatkan perkhidmatan,” katanya.
Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata semua mereka ditahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor, Seksyen 52, 46 dan 4 yang antara lain pertuduhan boleh dikenakan denda RM3,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Difahamkan bomoh yang bekerja sebagai pekebun nanas itu pernah didakwa pada 1995 atas pertuduhan sama.
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Abdullah Wahab
No comments:
Post a Comment