Thursday, October 29, 2009

Dibunuh kenalan Facebook!!!

GAMBAR menunjukkan khemah didirikan di lokasi mayat Ashleigh ditemui di Sedgefield, Durham.

SEDGEFIELD, England - Seorang lelaki didakwa menculik dan membunuh seorang gadis, Ashleigh Hall (gambar kecil) selepas dia menggunakan laman jaringan sosial, Facebook untuk mengumpan mangsa keluar dengan menyamar sebagai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Ashleigh, 17, hilang selepas dia keluar menemui suspek yang berusia 32 tahun itu pada Ahad lepas.

Mayat Ashleigh ditemui pada Isnin lalu di dalam sebuah parit dekat sini dalam keadaan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.


"Ashleigh seorang yang penyayang, jujur dan mengambil berat. Dia disayangi oleh rakan-rakannya. Orang lain tidak dapat membayangkan betapa pilunya keluarga kami di atas pemergiannya," kata ibu mangsa, Andrea semalam.

Pada masa sama, dia menyeru para ibu bapa agar berwaspada dengan Internet dan jangan sesekali membenarkan anak-anak yang masih di bawah umur meletakkan gambar mereka dalam mana-mana laman jaringan sosial.

Polis secara tidak sengaja berjaya menyelesaikan kes pembunuhan itu apabila mereka menahan seorang lelaki kerana kesalahan lalu lintas pada Isnin lepas.

Mereka menyedari lelaki berkepala botak itu berada dalam senarai pesalah seks selepas membawanya ke sebuah balai polis di sini.

Lelaki itu kemudian mengaku menculik dan membunuh gadis tersebut kepada beberapa detektif polis. - Agensi

Tuesday, October 27, 2009

Kesan Penggunaan Puting Bayi

PENGGUNAAN puting bayi perlu dielakkan sejak peringkat awal lagi.

ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.

Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.

Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.

Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.

Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah...(more)



Kajian yang dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

Penggunaan secara berlebihan

Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.

Gejala-gejalanya ialah:

* Gigi beralih posisi - Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.

* Kerosakan gigi (bahagian depan) - Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.

* Bernafas melalui mulut - Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.

* Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.

* Menggalakkan anak berhenti menggunakannya - Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.

Thursday, October 22, 2009

Flet maksiat...

SASARAN...Flet Hijau tercemar dengan kejadian maksiat.

PUTRAJAYA: Gahnya nama Flet Hijau di sini dengan kegiatan maksiat sukar dinafikan apabila lebih 50 pasangan bukan mahram yang dipercayai sedang bersiap atau berniat melakukan ‘projek’ ditahan di penempatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Lebih memalukan, flet 11 tingkat yang mempunyai lebih empat blok itu menjadi markas golongan remaja dan pasangan kemaruk seks melampiaskan nafsu serakah di rumah sewa sama ada milik pasangan lelaki atau wanita tak kira siang atau malam.

Keadaan menjadi lebih ‘meriah’ waktu malam dengan gelagat remaja perempuan menggunakan taktik berpakaian sopan termasuk bertudung litup memasuki rumah terlebih dulu sebelum diekori pasangan lelaki yang kemudian memulakan adegan mereka.

Kegiatan tidak bermoral di rumah pangsa berkenaan kebanyakannya dipercayai membabitkan pekerja swasta dan kakitangan kerajaan berusia 20 dan 25 tahun yang menyewa di flet berkenaan.

Flet Hijau satu-satunya kediaman disewakan kepada orang ramai di bandar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.

Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan sumber agensi kerajaan kepada Harian Metro yang mendakwa perbuatan maksiat di kalangan penghuni Islam di flet yang terkenal dengan panggilan Flet Hijau itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, laporan mengenai kegiatan maksiat dan khalwat di flet berkenaan memang sukar ditangani kerana premis berkenaan turut disewa kepada pekerja swasta selain kakitangan awam.

Sumber itu berkata, lebih 50 tangkapan dilakukan terhadap pasangan yang dipercayai melakukan maksiat di flet berkenaan dan ia jumlah yang mengejutkan.

“Kami percaya mereka menggunakan rumah sewa itu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral dengan pasangan tanpa menghiraukan teguran penghuni lain.

“Pelaku maksiat memang bijak menggunakan taktik bagi mengaburi mata penghuni lain dengan hanya membenarkan pasangan memasuki rumah selepas beberapa minit mereka masuk.

“Taktik ini yang kami kesan sepanjang pemantauan sebelum menahan beberapa pasangan yang dikenal pasti,” katanya.

Malah, katanya, ada antara gadis yang sengaja bertudung litup dan berperawakan bersopan sehingga tidak disangka mereka turut melakukan perbuatan terkutuk itu.

Menurutnya, berdasarkan laporan serbuan pihak berkuasa, kebanyakan penghuni rumah yang diserbu mengambil masa sehingga lebih 10 minit untuk membuka pintu dan ia menguatkan lagi anggapan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral di kediaman itu.

“Bila kami sampai, mereka dipercayai dah selesai ‘projek’, malah sempat berpakaian lengkap sebelum membuka pintu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku selain memberikan pelbagai alasan ‘bodoh’,” katanya.

Menurutnya, gejala maksiat di penempatan terbabit sebenarnya menimbulkan rasa tidak senang penghuni lain yang hampir setiap hari melihat perlakuan tidak bermoral dilakukan di depan mata.

Sumber itu berkata, berdasarkan jumlah blok di penempatan berkenaaan, dia tidak menolak kemungkinan kewujudan kegiatan seks bebas membabitkan remaja di flet berkenaan.

“Malah, ada yang ditahan pihak berkuasa dan sudah dikenakan denda, masih tidak serik apabila ditahan semula bersama pasangan sama selepas itu.

“Berdasarkan siasatan, kebanyakan remaja terbabit bermasalah dan tidak pernah serik dengan denda yang boleh dibayar pada bila-bila masa,” katanya.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya pihak berkuasa menggempur penempatan terbabit supaya kegiatan maksiat dapat ditangani secara menyeluruh.

“Buat masa ini, kami belum mendengar kes pembuangan bayi atau hamil di luar nikah di flet itu, tetapi kegiatan maksiat di kawasan berkenaan perlu ditangani segera sebelum gejala lebih buruk berlaku,” katanya.

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad